Abstrak
PeMelayuan ilmu sebagai teras peMalaysiaan ilmu adalah contoh pempribumian
ilmu. Berlakunya atau tidaknya proses ini di Alam Melayu, khususnya di
Malaysia dibicarakan. Contoh pempribumian ilmu sepanjang sejarah tamadun
manusia yang terbukti berjaya dibincangkan, iaitu pengAraban ilmu pada Zaman
Tamadun Islam; pengEropahan (bermula dengan peLatinan yang berpusat di Itali) pada
Zaman Pertengahan dan diikuti dengan penasionalan ilmu di negara-negara di Eropah
seperti pemPerancisan, penJermanan dan pengInggerisan terutamanya pada zaman
kebangkitan kebangsaan masing-masing pada kurun ke-18M; dan penJepunan ilmu yang
bermula pada Zaman kerajaan Meiji. Setiap satu pempribumian ilmu ini, pemindahan
ilmu dilakukan menerusi bahasa kebangsaan masing-masing diikuti (atau serentak)
dengan penyesuaian ilmu dengan kebudayaan dan sistem nilai masing-masing, dan
akhirnya pengaryaan ilmu berlaku berasaskan keperluan bangsa masing-masing yang
kemudiannya sesetengahnya didapati berguna juga di negara-negara lain. PeMelayuan,
peMalaysiaan dan pengIslaman S & T dalam tamadun Melayu juga disorot secara
ringkas yang membawa kepada syor penggiatan penyelidikan dalam etnosains dan
etnoteknologi di Alam Melayu pada masa silam, pendekatan ilmu dalam pengajaran
dan pendidikan dengan penyesuaian terhadap sistem nilai Malaysia yang berteraskan
Melayu-Islam, dan penggesaan lebih ramai lagi ahli S & T Melayu-Islam bergiat dalam
arena ini. PengIslaman ilmu disoroti dengan mengelaskannya kepada lima pendekatan:
pendekatan remeh (Bucailleisme), pendekatan tradisi (pendekatan falsafah tinggi abadi
yang banyak diartikulasi oleh Seyyed Hossain Nasr, dan pendekatan tasawwuf ortodoks
yang menjadi asas kepada pengartikulasian sains Islam mengikut Syed Naquib al-Attas),
pendekatan feqah dan salafi yang sinonim dengan Ismail Faruqi, pendekatan etos Islam
atau pendekatan al-Quran dan Kuhnan baru (yang hampir sinonim dengan pandangan
Ziauddin Sardar atau kumpulan Ijmali, dan kumpulan Aligarh), dan akhirnya pendekatan
Asasi. Dasar S & T Malaysia tidak mendokong peMelayuan, peMalaysiaan atau
pengIslaman kerana segala pelaksanaan dasar ini dilakukan dalam budaya berbahasa
Inggeris dan model pembangaunan S & T Malaysia ialah model karikatur Barat
(Inggeris), terlampau berorientasikan gunaan, saduran dan kekomersan. Setelah teori
pembangunan Islam disoroti dan dasar S & T Malaysia dikritik dalam konteks
peMelayuan, peMalaysiaan dan pengIslaman, maka beberapa syor lagi diutarakan
seperti mengadakan nis Malaysia tersendiri, dan pengecaman S & T genting dengan tidak
melupakan sains asas yang setiap satunya berorientasikan kepada pempribumian atau/dan
pengIs lamannya. PeMalaysiaan Sains dan Teknologi berteraskan PeMelayuan
PeMalaysiaan ilmu ialah proses meMalaysiakan ilmu supaya ilmu itu menjadi
lebih hampir dengan rakyat Malaysia dan ini semestinyalah membabitkan
peMelayuan ilmu secara dominannya. PeMalaysiaan ini tentunya bermakna segi
bahasa pengantarnya, pengajarannya dan pendidikannya, sejarah tempatannya,
tokoh ilmuwannya, pengIslamannya, kerelevanan masalah yang diselesaikannya
dan penerokaan dan penciptaannya. Dari segi bahasa pengantarnya, maksud
pempribumian di Malaysia ialah proses mengajar ilmu di semua peringkat dan
membicarakannya dalam bahasa Melayu sehingga para pelajar, guru dan
pengamalnya boleh mengungkapkan ilmu itu dalam bahasa Melayu dengan jelas
dan tepat dan akhirnya berupaya mengkritik dan mencipta alternatif atau
meneroka ilmu itu sehingga terjelmalah istilah-istilah dan konsep barunya dan
asli dalam bahasa Melayu jua.
Lebih dalam lagi, pengajaran ilmu semasa pempribumian itu perlu menonjolkan
kesinambungan atau kesamaan dengan sejarah ilmu di Alam Melayu (bukan
sahaja di Malaysia) dan Islam (bukannya hanya dengan sejarah ilmu dalam
tamadun Barat sahaja). Komponen Islam itu perlu kerana agama inilah yang
mendasari sistem nilai suku kaum besar di Malaysia. Oleh sebab sejarah ilmu di
Malaysia dan Alam Melayu amnya terutamanya yang bersangkutan dengan ilmu
S & T masih belum diketahui dengan jelas, maka kajian etno-sains dan etnoteknologi di Alam Melayu perlu digiatkan lagi. Ilmu yang diajar perlu juga
diberi perisa tempatan dengan menggunakan contoh dan data tempatan dan
menyingkirkan contoh dan data asing. Tokoh-tokoh tempatan perlu ditonjolkan
supaya ilmu itu terasa hasil tempatan dan tidak terasa diimport.
Ilmu juga perlu diberi pendekatan baru yang sesuai dengan sistem nilai Malaysia
yang berteraskan Melayu-Islam. Pada masa silam, sains warisan Yunani, Parsi,
India dan China telah diIslamkan sehingga sains yang jelas bertentangan dengan
pandangan Islam seperti contohnya atomisme kebendaan Demokritos ditolak
sama sekali. Walaupun terdapat beberapa aliran sains Islam seperti aliran almutakallimun, al-masya‘iyyun, dan tasawwuf serta perdebatan hebat tentang
beberapa konsep penting dalam sains seperti kewujudan, jirim, masa, sebabmusabab dan sebagainya, namun setiap aliran ini mempunyai peranan Tuhan
yang jelas dalam teori mereka dan menganggap alam tabii sebagai satu daripada
berbagai-bagai aras kewujudan. Sains Barat yang timbul pada abad ke-8 Hijrah
(ke-14 Masehi) mewarisi sains Islam menerusi terjemahan bahasa Latin
sebelumnya, akan tetapi seterusnya menyah-Islamkannya dengan mengeluarkan
peranan Tuhan dalam teori-teori mereka dan menumpukan kajian mereka
kepada alam tabii semata-mata serta menolak paras kewujudan lain. Inilah
pemBaratan (pengEropahan) sains Islam. Walaupun kegiatan sains Islam masih
diteruskan hingga ke abad ke-11 Hijrah (ke-17 Masehi) akan tetapi kejatuhan
berbagai-bagai wilayah Islam pada abad ke-18 dan ke-19 Masehi, ke tangan para
penjajah Barat, turut menghancurkan sistem pendidikan Islam dan sistem
penaungan politik kegiatan sains Islam. Sistem pendidikan sekular penjajah
yang turut diwarisi oleh negara yang majoriti rakyatnya Islam (ringkasnya
negara Muslim) yang kini merdeka, memperkenalkan sains Barat yang banyak
bercanggah dengan aqidah Islam. Pada penghujung abad ke-19 dan awal ke-20
Masehi beberapa tokoh Islam seperti Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh
Muhammad ‘Abduh ketika membicarakan kebangkitan baru Islam menyarankan
orang Islam menggarap dan menguasai sains Barat kerana pada pandangan
mereka sains Barat itu akan menjamin kemajuan dan kesejahteraan ummah.
Penerimaan sains Barat tanpa sebarang kritikan ini diteruskan oleh para
pemimpin pasca-merdeka negara-negara Muslim moden. Walaupun terdapat
para ulama tradisi yang menolak sains Barat sebagai ilmu yang boleh
menyesatkan orang Islam, namun akibat kepupusan sains Islam dan sistem
pendidikan Islam tradisi, mereka tidak mampu mengemukakan sains Islam
sebagai alternatifnya. Akibatnya, pada dasawarsa ‘60-an hingga kini, krisis
aqidah dan nilai antara agama Islam dengan sains Barat semakin
membimbangkan. Kegiatan pengIslaman ilmu S&T merupakan satu kegiatan
yang besar dan memerlukan perbincangan berasingan di negara-negara Muslim
seperti Malaysia. Oleh itu pempribumian di Malaysia tidak dapat tidak berupa
jejak yang bersahaja ke arah pengIslaman ilmu di Malaysia.
Pempribumian ilmu di Malaysia juga memerlukan ramai kaum pribumi
khususnya Melayu-Islam yang terlibat dengan urusan keilmuan sebagai
pendidik, ahli ikhtisas dan sebagainya. Budaya urusan keilmuannya seperti
dalam pentadbiran, pendidikan, amalan dan sebagainya semuanya hendaklah
dominannya berbudaya Malaysia yang berteraskan Melayu-Islam. Penyelidikan
pula perlulah lebih relevan lagi dengan pembinaan tamadun Malaysia, iaitu
hendaklah diorientasikan kepada persoalan-persoalan daripada masalah setempat
atau hal-hal yang difikirkan berkepentingan umat Islam, dan bukannya terikut
atau hanyut dengan setianya akan agenda negara-negara asing khususnya
negara-negara yang maju yang mempesonakan itu, atas nama kesejagatan atau
sejagatisme, liberalisme, dan penyahaturan.
Wednesday, 7 September 2011
Posted by HARINI at 06:32
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment